Mitos 'Islamofobia' (Dalam Bahasa Melayu)

Negara Barat & Umat Bukan Islam

Sering Dituduh Dilanda Gejala Itu

Sepuluh tahun lalu tiada sesiapa yang pernah mendengar istilah 'Islamofobia'. Kini, bermula daripada para pemimpin warga Islam, para aktivis anti-perkauman hinggalah para menteri, semua pihak cuba meyakinkan kita bahawa warga di Britain sedang dilanda perasaan kurang senang terhadap agama dan warga Islam.

Tapi benarkah Islamofobia itu wujud? Kononnya, gagasan tersebut menimbulkan salah pengertian kebencian serta diskriminasi terhadap warga beragama Islam dan kritikan hebat terhadap agama Islam secara keseluruhannya. Tohmah bahawa wujud ketakutan tidak rasional atau Islamofobia selalu digunakan bukan sahaja terhadap faham perkauman tetapi untuk mematikan segala hujah dalam setiap kritikan terhadap Islam, malah dijadikan bahan oleh para warga Islam yang gigih berusaha mereformasi masyarakat mereka.

Yang nyata, diskriminasi terhadap warga Islam tidaklah sehebat atau begitu parah kesannya seperti yang sering dinyatakan. Ketika saya membuat filem mengenai gejala Islamofobia untuk Saluran 4, saya dapati betapa lebarnya jurang antara persepsi dengan kenyataan. Antara pokok persoalannya ialah tindakan pihak berkuasa (termasuk polis) yang mengganggu umat Islam. Statistik ibu pejabat pada musim panas yang lalu menunjukkan kenaikan 300 peratus dalam jumlah warga keturunan Asia yang kena pintas sekat dan diperiksa di bawah undang-undang anti-keganasan kerajaan British. Maka para petugas media, pemimpin Islam dan ibu pejabat - kesemuanya meneriakkan "Islamofobia!". "Seluruh masyarakat Islam menjadi sasaran pihak polis," dakwa Khalid Sofi daripada Dewan Islam Britain.

Memang angka kasar "kenaikan 300 peratus" itu menunjukkan adanya usaha pihak berkuasa menangani isu itu secara besar-besaran. Namun jika dikaji dengan lebih teliti, data menunjukkan hanya 3,000 warga keturunan Asia yang kena pintas sekat dan diperiksa dalam tahun sebelumnya di bawah Undang-Undang Anti-keganasan. Hanya separuh daripada angka itu merupakan warga Islam. Dengan kata lain, hanya kira-kira 1.500 orang daripada seluruh penduduk warga Islam, yang paling tidak berjumlah  1.6 juta umat, yang kena pintas sekat di bawah undang-undang anti-keganasan. Maka mana mungkin itu menghujahkan bahawa pihak polis Britain sedang menjadikan semua umat Islam Britain sebagai sasaran tindakan mereka.

Sejumlah 21,577 orang dari pelbagai latar belakang yang ditahan dan diperiksa di bawah Undang-Undang Anti-Keganasan. Majoritinya, 14,429 orang, adalah warga kulit putih. Meskipun demikian, ketika saya mewawancara Iqbal Sacranie, setiausaha agung Dewan Islam Britain, dia berkeras bahawa "95-98 peratus daripada mereka yang kena pintas sekat dan diperiksa di bawah undang-undang anti-keganasan adalah warga Islam." Angka yang sebenarnya adalah 14 peratus (bagi keturunan Asia).

Memang tidak seimbang kadar angka warga keturunan Asia yang kena pintas sekat – mereka hanya mencakup jumlah 5 peratus daripada jumlah penduduk walhal 14 peratus daripada mereka yang kena pintas sekat di bawah Undang-Undang Terorisme itu. Mungkinkah ini atas sebab prasangka anti-Muslim. Mungkin juga. Tetapi kemungkinan lebih besar ialah pemeriksaan anti-keganasan sering dijalankan di kawasan-kawasan dekat bandar Heathrow misalnya, di mana kebetulan pula ramai warga keturunan Asia bermastautin. Hampir 2/3 daripada seluruh penahanan anti-keganasan dan operasi pemeriksaan terjadi di London, di mana warga keturunan Asia mencakup 11 peratus daripada jumlah penduduk.

Dakwaan kewujudan gejala Islamofobia mudah disangkal jika kita meneliti keseluruhan angka pintas sekat dan pemeriksaan. Hanya sebahagian kecil daripada jumlah 869,164 pintas sekat dan pemeriksaan yang dilakukan di bawah Undang-Undang Anti-keganasan. Seandainya gejala Islamofobia memang wujud dan melanda pihak berkuasa dan polis, pasti dalam kesemua statistik kita dapati bahawa jumlah orang Asia tidak seimbang kadarnya dalam semua data. Tapi itu bukan hakikatnya. Warga Asia kena pintas sekat dan diperiksa pada kadar yang beragam berbanding nisbah populasi mereka, jika faktor umur juga diambil kira.

Orang awam boleh mendapatkan kesemua statistik ini. Namun tak seorang pun jurnalis berwibawa yang tampil untuk mencabar dakwaan bahawa kadar warga keturunan Asia yang sedang kena pintas sekat dan diselidiki adalah tidak seimbang dengan jumlah bilangan mereka. Islamofobia diterima begitu saja dan tak seorang pun yang mahu berikhtiar menyelidikinya apakah Islamofobia benar-benar ada.

Dalam perdebatan mengenai operasi sekat pintas dan pemeriksaan memang ada data objektif untuk menyiasat dakwaan fasal adanya Islamofobia. Namun kebenaran dalam hal serangan fizikal agak sukar untuk dinilai. Sepanjang 20 tahun kebelakangan ini, apa yang ditakrif sebagai serangan berunsur perkauman telah berubah secara radikal. Kini apa saja daripada kata cemuhan sampai serangan brutal tergolong dalam angka serangan fizikal. Masalah ini dirumitkan lagi oleh fakta bahawa susulan penyiasatan MacPherson yang menyelidiki kes pembunuhan Stephen Lawrence, pihak polis perlu menerima persepsi mangsa mengenai serangan terhadap dirinya. Jika mangsa percaya serangan ke atasnya berunsur perkauman, polis perlu menanganinya sedemikian rupa juga. Dan itu menjurus kepada timbulnya elemen subjektif dalam hal pelaporan.

Mentakrifkan serangan berbentuk Islamofobia sebenarnya lebih sukar daripada menyusun statistik bagi serangan berunsur perkauman. Haruskah kita menganggap setiap serangan ke atas seorang Muslim sebagai gejala Islamofobia? Jika seorang pemandu teksi Afghan diserang, apakah itu serangan berunsur perkauman, insiden Islamofobia, atau sekedar kes keganasan rambang saja? Jadi ketidakpastian sedemikian menjadi peluang untuk pihak tertentu membuat beraneka dakwaan mengenai Islamofobia. Menurut Iqbal Sacranie, warga Islam belum pernah menghadapi bahaya fizikal yang lebih berat daripada sekarang ini. Keyakinan Ahmad Versi, editor Muslim News, sama seperti Iqbal Sacranie bahawa, "Susulan peristiwa 11 September, warga Islam menghadapi jumlah serangan paling besar dalam sejarah."

Pengalaman peribadi dan statistik yang ada menyangkal dakwaan ini. Sewaktu saya membesar pada tahun 1970-an dan 1980-an, faham perkauman memang mencetuskan pelbagai kekejaman yang sering membawa maut. Kejadian menikam dan melontar bom api adalah hal rutin di sesetengah bahagian di Britain. Pada Mei 1978, lebih daripada 7.000 warga keturunan Benggali berarak beramai-ramai dari Whitechapel ke Whitehall sebagai tanda protes atas pembunuhan Altab Ali, seorang pekerja industri pakaian dekat Brick Lane. Itulah satu daripada 8 pembunuhan bersifat perkauman pada tahun itu. Pada dekad berikutnya, berlaku sekurang-kurangnya 49 pembunuhan sedemikian. Bagi warga Islam, akhir dekad 1980 - mulai dari kes Salman Rushdie hingga Perang Teluk - memang tempoh waktu yang begitu sukar. Saya sendiri pernah mengaturkan rondaan di wilayah permukiman London timur demi melindungi keluarga Asia daripada serangan bersifat perkauman.

Kini keadaan di Britain sudah menjadi lebih baik, termasuk bagi warga Islam. Memang masih ada serangan bersifat perkauman. Awal bulan Disember, 3 pemuda Muslim dipukul dengan teruk oleh sekumpulan 15 orang di Manchester dalam sebuah peristiwa yang pihak polis gambarkan sebagai serangan bersifat perkauman yang dahsyat. Namun kita telah banyak berubah sejak tahun 1970-an dan 1980-an, dan kini saya melihat sifat perkauman tidaklah sebegitu hebat era 70-an dan 80-an.

Statistik yang ada menyokong persepsi peribadi saya seperti di atas. Pihak Kesatuan Eropah yakni EU, begitu peka terhadap rentetan serangan terhadap warga Islam susulan peristiwa 11 September hinggakan mereka mengerahkan penyediaan laporan khusus fasal hal tersebut. Dalam tempoh 4 bulan selepas terjadi serangan atas World Trade Centre, pihak EU mendapati kira-kira 12 serangan serius terhadap warga Islam Britain. Angka itu memang besar, tetapi itu tidak membuktikan bahawa Islamofobia sedang melanda.

Malahan organisasi-organisasi Muslim yang berkempen menyelar Islamofobia mendapati agak sulit untuk membuktikan bahawa kejadian serangan ke atas warga Islam merupakan perkara rutin. Suruhanjaya Hak Asasi Islam memantau 344 serangan terhadap warga Islam pada tahun menyusul peristiwa 11 September 2001. Kebanyakannya cuma insiden kecil seperti menolak atau meludah.

Bagi para pemimpin Muslim, langkah membesar-besarkan ancaman Islamofobia membantu mereka mengukuhkan landasan kuasa mereka dalam masyarakat mereka sendiri dan juga dalam masyarakat yang lebih luas. Sudah sekian lama warga Islam Britain berasa  iri terhadap kekuatan politik masyarakat Yahudi, dan status istimewa yang diberikan kepada Dewan Perwakilan Yahudi Britain. Salah satu alasan untuk membentuk Dewan Islam Britain adalah untuk berusaha menyaingi kejayaan politik perwakilan Yahudi itu. Para pemimpin Muslim berbicara tentang penggunaan Islamofobia, dengan cara yang sama sebagaimana, pada hemat mereka, para pemimpin Yahudi  mengeksploitasi kegusaran terhadap faham anti-Semit (yakni anti-Yahudi).

Para ahli politik aliran utama, khususnya barisan pemerintah daripada Parti Buruh yang menerima kecaman hebat bahana perang Iraq serta undang-undang anti-keganasannya juga mendapati yang ada keuntungan yang diraih dengan melebih-lebihkan prasangka anti-Muslim. Mereka kembali mencapai landasan moral yang tinggi dengan berlaku lebih sensitif terhadap Islamofobia. Itu turut membolehkan para ahli politik Parti Buruh untuk berusaha mendapatkan sokongan yakni undi warga Islam. Baru-baru ini, Mike O'Brien, menteri perdagangan, menulis di dalam terbitan mingguan, Muslim Weekly, bahawa biarpun warga Islam berasa yang mereka dikhianati dengan meletusnya Perang Iraq,  namun "Kerajaan Parti Buruh sedang berusaha menyampaikan agenda yang menunjukkan perhatian dan rasa hormat terhadap warga Islam."  Menurut O'Brien: Iqbal Sacranie, setiausaha agung Dewan Muslim, meminta Tony Blair untuk mengisytiharkan bahawa pihak kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baru yang melarang diskriminasi keagamaan. Dua minggu kemudian, dalam ucapannya kepada kongres Parti Buruh, Tony Blair berjanji bahawa Pemerintah Parti Buruh berikutnya akan mengharamkan diskriminasi keagamaan."

Para pemimpin masyarakat berkenaan mungkin berasa usaha mereka disokong dan didukung manakala para ahli politik mungkin mendapat undi yang lebih dengan berpura-pura bahawa warga Islam sememangnya amat menderita namun hal itu langsung tidak memanfaatkan kita semua, baik warga Islam mahu pun warga bukan Islam. Semakin warga Islam biasa yakin bahawa mereka senantiasa menghadapi serangan yang berterus-terusan, mereka akan semakin marah, dan kian terbuka kepada faham ekstremisme.

Dalam proses membuat dokumentari saya ini, saya bertanyakan pengalaman Islamofobia berdozen warga Islam di seantero negara. Semuanya percaya bahawa pihak polis memang biasa bertindak dengan kekerasan, meskipun tak seorang pun yang pernah kena pintas sekat dan diperiksa. Semuanya berkeras bahawa kejadian serangan fizikal berlaku dengan meluas sekali, sekalipun hanya sedikit yang pernah diserang atau mengetahui seseorang yang pernah diserang. Yang sedang tercipta ialah gejala "kecenderungan berasa diri menjadi mangsa” di mana "Islamofobia" dihujahkan sebagai penjelasan dan punca bagi semua masalah yang warga Islam hadapi.

Cuba pertimbangkan masalah sosial yang menimpa masyarakat Islam. Kemungkinan menganggur warga keturunan Bangladesh dan Pakistan yang merupakan 2/3 daripada jumlah penduduk Muslim di negara ini adalah dua kali lebih besar berbanding warga kulit putih; pendapatan purata lelaki Muslim hanya 68 peratus daripada pendapatan lelaki bukan Islam; 65 peratus warga keturunan Bangladesh adalah pekerja manual separa mahir berbanding 23 peratus lain-lain etnik minoriti dan 15 peratus bagi keturunan British berkulit putih; 54 peratus keluarga keturunan Pakistan dan Bangladesh menerima bantuan sosial; pada tahun 2000, 30 peratus siswa keturunan Pakistan memperoleh lima atau lebih GCSE yang baik berbanding angka 50 peratus bagi seluruh populasi. Sudah lumrah kesemua kekurangan ini dibebankan atas gejala Islamofobia. Menurut Muslim News, "pelaporan media tentang agama dan warga Islam berkesan amat besar terhadap prestasi pasaran pekerja warga Islam."

Namun pengangguran, kemiskinan dan pencapaian yang rendah dalam hal pendidikan bukanlah fenomena baru dalam masyarakat Islam di negara ini, malah penyebabnya banyak dan beragam. Rasisme memang memainkan peranan. Tapi faktor kelas sosial juga sama penting. Kelas sosial warga keturunan Pakistan dan Bangladesh lebih dekat dengan keturunan Afrika dan Caribbean daripada etnik India dan China. Sementara etnik India dan China berasal dari kelas menengah manakala kebanyakan keturunan Bangladesh, Pakistan dan Afro-Caribbean berasal daripada kelas pekerja dan kalangan warga luar bandar.

Sesetengah pihak menyalahkan amalan menurut budaya sesetengah masyarakat Islam. "Pada umumnya ," jurnalis Yasmin Alibhai-Brown mengakui,"pencapaian masyarakat Islam adalah yang terendah di negara ini. Jika anda berbicara dengan warga Islam tentang mengapa hal ini terjadi, Islamofobia ialah satu-satunya alasan yang mereka berikan." Ini bukan hujah yang diterima oleh Alibhai-Brown. "Bukannya Islamofobia yang membuat ibu bapa memberhentikan persekolahan anak gadis mereka yang berusia 14 tahun demi menikahkannya dengan seorang lelaki buta huruf."

Alibhai-Brown tidak setuju dengan pendapat yang membesarkan ruang lingkup Islamofobia yang mempercayai bahawa Islamofobia ialah kuasa besar yang membentuk kehidupan warga Islam. Beliau menambah bahawa Islamofobia sudah biasa di peralatkan sebagai label – seperti daun kayu yang menutup kemaluan dan keaiban dan sering kali menjadi bahan demi memeras ugut masyarakat."

Semua ini memang menyarankan betapa perlunya diadakan perbincangan terbuka dan jujur tentang warga Islam dan hubungannya dengan masyarakat Britain yang lebih luas. Memang agak rendah kemungkinan akan berlaku perbincangan yang terbuka dan jujur sedemikian. "Islamofobia" bukan saja gambaran mengenai prejudis dan prasangka anti-Islam – malah gejala itu menjadi penentu bagi apa yang boleh dan tidak boleh dibicarakan tentang Islam. Saban tahun, Suruhanjaya Hak Asasi Islam (IHRC) menganjurkan acara pemberian hadiah untuk mengolok-olokkan "Tokoh Islamofobia Tahun Ini (kononnya)." Tahun lalu dua warga British menjadi pemenang. Yang pertama ialah Nick Griffin dari Parti Nasional Britain. Yang seorang lagi itu ialah kolumnis Guardian, Polly Toynbee. IHRC mengisytiharkan bahawa mereka tidak dapat menerima tindakan Toynbee membela sekularisme dan hak asasi wanita, dan kritikannya terhadap Islam.

Tanya saya kepada Massoud Shadjareh daripada IHRC, bukankah tak masuk akal menyamakan seorang liberal anti-rasis seperti Polly Toynbee dengan pemimpin parti berhaluan neo-fasis? Sama sekali tidak, jawab Massoud.. Kami memang perlu menangani dengan berhadapan, bekerjasama dan berbicara. Tetapi ada batasnya untuk itu." Sungguh sulit untuk membayangkan kerjasama dan pembicaraan jika tokoh-tokoh pemimpin Islam tidak tahu membezakan antara kritik liberal dengan serangan neo-fasis. Akan sangat mudah untuk mengesampingkan IHRC dan menganggapnya sebagai organisasi pinggiran. Tapi IHRC memang badan yang penting. Ia badan konsultasi PBB. Hasil kerja mereka mendapat pujian Suruhanjaya bagi Persamaan Ras. Lebih penting lagi, hujahnya - bahawa dalam masyarakat majmuk, kebebasan berpendapat dibatasi oleh keperluan untuk tidak menghina agama tertentu atau kelompok-kelompok budaya lain - telah diterima secara meluas.

Maka pihak kerajaan sedang merumuskan perundangan baru untuk mengharamkan perbuatan yang menghasut kebencian keagamaan. Rang undang-undang fasal jenayah serius dan terancang dan polis akan menyifatkan sebagai kesalahan mana-mana tindakan yang "dengan secara sengaja menggunakan kata-kata, tingkah laku atau bahan lain untuk mengancam, melecehkan atau menghina dengan maksud atau kesan yang serupa untuk menimbulkan kebencian terhadap kelompok masyarakat yang dijadikan sasaran kerana kepercayaan agama mereka." Para pendukung undang-undang ini menyatakan bahawa ruang lingkup undang-undang ini meliputi warga Islam serta kelompok keagamaan lainnya, seperti perlindungan sedia bagi semua kelompok berlainan kaum. Kaum Sikh dan Yahudi dilindungi oleh Undang-Undang Hubungan Antara-Kaum. Undang-undang yang baru ini dirancang untuk memenuhi kepentingan warga Islam yang belum tercakup dam perundangan sebelumnya.

Namun, pada waktu ini pun, menghasut kebencian keagamaan Undang-Undang Ketertiban Umum tahun 1986 dipinda pada tahun 1998 untuk meliputi kesalahan berupa "ganggu-gugat keagamaan". Seseorang dikatakan melakukan kesalahan jika dia "mempamerkan tulisan, simbol atau gambaran visual lain yang mengancam, melecehkan atau menghina, yang dapat didengar atau dilihat oleh seseorang yang dapat menimbulkan gangguan, ketakutan atau bahaya." Kesalahan itu "berlaku di tempat awam ataupun di tempat persendirian." Sejurus setelah peristiwa 11 September, Mark Norwood, seorang anggota BNP, dihukum di bawah undang-undang ini kerana didapati salah meletakkan poster dengan gambar bangunan World Trade Centre yang terbakar dengan slogan "Islam keluar dari Britain " di jendelanya .

Bagaimana pun, ada perbezaan asas antara ras, yakni kaum, dengan agama. Anda tak berdaya memilih warna kulit sendiri, tetapi anda boleh memilih set kepercayaanmu. Agama adalah set kepercayaan. Saya boleh berasa tidak suka terhadap kepercayaan lain. Jadi mengapa saya tidak boleh bersikap membenci dalam hal agama?

Beberapa pendukung undang-undang itu menegaskan bahawa undang-undang tersebut akan tetap mengizinkan kita mencemuh dan mengkritik agama-agama yang ada. Dari segi amalan dan pelaksanaannya, penguatkuasaan undang-undang ini memang berhadapan dengan masalah dan kerumitan yang besar. Kesemua pemimpin Islam yang saya ajak berbicara, berhasrat menggunakan undang-undang ini untuk melarang buku The Satanic Verses. Pada hemat Ahmed Versi, editor Muslim News, Margaret Thatcher sepatutnya didakwa atas ulasannya bahawa para ulama Islam tidak mengutuk sepenuh hati peristiwa 11 September 2001.

Sepuluh tahun lalu,kerajaan Parti Konservatif, menolak undang-undang serupa kerana para menteri takut hal itu akan digunakan demi mengharamkan The Satanic Verses. Sekarang ini, para menteri hal-ehwal dalam negeri serta pengarah bahagian Pendakwa Raya memberi jaminan kepada semua orang bahawa pengharaman itu tak mungkin terjadi."Kita akan terus bebas untuk saling menghamburkan penghinaan berseloroh," kata pengarah bahagian Pendakwa Raya", Ken Macdonald, kepada saya. Ini bererti bahawa ramai warga Islam tentunya bakal tidak berpuas hati. Setelah lama menggalakkan gejala ketakutan yang dibesar-besarkan tentang prejudis anti-Islam dan menuntun warga Islam untuk percaya bahawa undang-undang yang baru itu telah digarap demi memenuhi kepentingan mereka, para menteri mungkin akan menghadapi kesulitan untuk meredamkan harapan warga Islam. Kini pihak mahkamah berpendapat bahawa apa-apa bahan yang dilihat sebagai mampu menimbulkan rusuhan umum boleh dilihat sebagai usaha menghasut kebencian terhadap kaum dan agama. Maka undang-undang baru ini berupaya menghasilkan insentif untuk menghasut berlakunya keadaan kelam kabut atau ketidaktertiban umum kerana kalangan yang berasa kurang puas pasti berusaha menapis apa saja yang mereka anggap sebagai penghinaan. Senario kelam kabut di Birmingham di luar dewan yang mengadakan pementasan Sikh bertajuk Behzti mungkin akan berulang berkali-kali lagi.

Boleh dikatakan bahawa kecacatan dalam perundangan yang dicadangkan itu memang tidak relevan, sebab seperti yang dikatakan oleh pengarah bahagian Pendakwa Raya, nilai yang sebenarnya bukan kepentingannya dari segi amalannya tetapi dari aspek"simboliknya." Perundangan berkenaan dirangka demi membuat pernyataan moral akan apa yang diterima mahupun tidak diterima dalam masyarakat dan bukan untuk menyediakan penyelesaian guaman bagi masalah sosial. Tujuan undang-undang bukanlah untuk menapis perilaku kita, tapi agar kita sendiri mampu menapis diri kita sendiri.

 

Kutipan Dari Prospect Magazine | February 10, 2005, ditulis oleh Oleh Kenan Malik, Dengan Terima Kasih.
Original English article: Islamofobia Myth by Kenan Malik, FrontPage magazin.com, February 10, 2005; translated and published on Answering Islam with permission of FrontPage magazin.com.

 


Indeks Utama