Kesaksian Saudari Halimahthun
"…Di dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna mengusir ketakutan (serta rasanya) Kerana di dalam ketakutan ada siksa hukuman dan orang yang takut belum sempurna di dalam Kasih. Kita mengasihi sebab Tuhan Allah terlebih dahulu mengasihi kita. Jikalau seorang berkata : 'Aku mengasihi Allah' padahal dia membenci saudaranya, orang itu membohong. Kerana jikalau dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihat, maka tidak boleh dia mengasihi Allah yang belum pernah dilihatnya. Perintah ini kita kita peroleh dari Allah, yaitu bahawa orang yang mengasihi Allah, harus mengasihi saudaranya juga."
Kitab Suci Injil al-Syarif, 1 Yahya 4 : 18 - 21 (Al-Kitab).
Assalamu'alaikum. Nama saya Halimahthun. Saya seorang wanita bumiputera Melayu asli, Muslimah Islam sejak dilahir di dalam keluarga Islam yang taqwa kepada Tuhan. Sejak muda lagi, saya belajar tentang hal-hal keagamaan dan ajaran-ajaran Islam secara rajin dan saya telah tegakkan rukun-rukun Islam dengan penuh azam, ikhlas dan kekusyukan.
Walaupun rasa khusyuk kepada Allah saya terasa pada mula-mulanya, lambat-laun pula saya telah mulai menanyakan akan bimbingan-Nya dan kebenaran kenyataan-kenyataan sifat-sifat Allah seperti Allah itu arrahman dan irrahim dan sebagainya. Walau begitu, saya tetap beriman kepadaNya dan cuba memberi peluang untuk ajaran-ajaran Islam diyakini di dalam jiwa dan hidup saya.
Setelah saya selesaikan pengajian tinggi saya di IPT, saya pun mendapat kerja yang cukup bagus dan memuaskan. Saya telah mendalami bidang perkerjaan saya dengan penuh minat dan yakin, kerana ini merupakan pengalaman baru sebagai tenaga kerja yang sebenar dan juga memperolehi ganjaran yang wajar daripada majikan saya.
Tidak lama kemudian, saya telah menemui bakal suami saya yang disayangi! Kami telah pun menikah dan berazam untuk mendirikan rumahtangga kami sendiri seperti semua keluarga yang baru dan penuh berharapan. Setahun kemudian, kami telah dianugerahi dengan cahaya mata dan saya penuh bersyukur kepada Tuhan atas hadiah kesayangan ini!
Kami telah membangun keluarga ini dengan penuh harapan dan bertanggung jawab! Akan tetapi, entah kenapa, tidak lama kemudian, beberapa masalah telah timbul yang pudarkan hidup kami sebagai keluarga yang baru dan mengancam harapan kami sebagai rumahtangga yang baru. Tiba-tiba, suami Islam saya telah merenggangkan perhubungan kami. Akibatnya tidak lama kemudian kami telah pun bercerai!
Pengalaman yang cukup pahit itu tidak mematahkan jiwa saya! Malah saya telah mencuba mendalami iman dan akidah keislaman saya dengan lebih giat lagi, misalnya membaca dan mencari jawapan-jawapan daripada al-Quran serta karya-karya alim ulamak yang membentangkan tentang Allah dan kebaikan-Nya, kasih sayang-Nya dan lain-lain.
Akan tetapi, semua bahan-bahan keislaman yang telah saya mencari itu tidak dapat menjawab soalan soalan saya mengenai kehidupan dan kasih-sayang yang sejati dan sebenar! Apakah Allah yang arrahman dan irrahim itu mengizinkan saya dan bekas suami saya untuk mendirikan bersama-sama satu rumahtangga dengan cahaya mata kami sendiri, dan sejenak dari itu merobohkan rumahtangga itu pula? Mengapa dan kenapa? Tidakkah Allah swt itu mengasihi kami sebagai suami-isteri dan boleh memeliharakan rumahtangga kami daripada kerosakan!?
Sesudah penyelesaian penceraian itu, dan sesudah puas cuba mencari jawapan daripada sumber-sumber Islam yang cukup banyak itu, saya pun berfikir: 'Sehingga kini saya masih belum pernah merujuk kepada sumber-sumber agama Samawi yang lain, yaitu akidah-akidah lain yang juga mengesakan Allah yang Maha Kuasa itu!' Saya terasa selama ini Allah adalah terlalu jauh dan 'remote' untuk mahu mengambil tahu mengenai masalah-masalah dan kerinduan saya yang cukup perit itu! Soalan yang telah muncul untuk saya pada waktu itu ialah: 'Adakah Tuhan seperti ini benar, serta 'kasih-sayangNya adalah tulin dan sejati?' Pada waktu itu saya telah pun menyimpan sejadah sembahyang serta telekung saya dan berhenti seketika amalan-amalan seperti itu!
Tidak lama kemudian, saya telah diundang teman baik saya, untuk pergi bersama-sama menonton Wayang 'The Passion of the Christ' ('Kesengsaraan Al-Masih'). Saya tidak menyedari atau mengetahui bahawa cerita ini ialah mengenai Sayidina Rabbani Isa al-Masih, Kesengsaraan Baginda serta Kewafatan-Nya. Waktu itulah saya telah menyedari betapa perit, pahit dan dalamnya kesengsaraan yang telah diharungi Almasih Isa Putera Maryam itu! Air mata saya mengalir tanpa berhenti-henti dan saya menangis bersedu-sedu semasa menyaksikan betapa besar dan dalamnya kasih-sayang AlMasih Isa itu untuk segala bangsa dan seluruh umat manusia, termasuk musuh-musuhNya sendiri!
Sejak saat itu saya pun telah sedar bahawa pencarian saya sudah pun termakbul! Tak usahlah saya mencari dan merayu di tempat-tempat yang lain, Kasih sayang yang sejati dan yang seratus peratus tulin itu ada pada Al-Masih Isa sahaja! Saya pun mengkaji Kitab Suci Injil Syarif dengan minda dan hati yang terbuka, tanpa dikongkong oleh prasangka dan buruk-sangka kesialaman terhadap akidah umat Nasrani yang cukup tipikal itu!
Aman-damai, kesejahteraan dan pelepasan rohani yang menyusul di dalam kehidupan saya setelah saya memeluk ajaran Isa Al-Masih yang indah itu tidak dapat diungkapkan keindahan dan kepuasannya dalam kata-kata manusia! Sebelum ini semua saya tidak pernah insaf akan keperluan saya untuk diampunkan dan dihilangkan semua hukuman dan hambatan dosa-dosa saya.itu. Sekarang saya sudah faham apa yang dimaksudkan Rabbiku Sayidina Isa, "jika seseorang ingin masuk Syurga, dia haruslah dilahirkan kembali (atau semula)! (KS Injil, Yahya fasal 3:1-4, 5-16).Syukur Alhamdulillah!
Saya mengundang saudara dan saudari semua! Silalah mengkaji bagi diri anda sendiri, Siapakah itu AlMasih Isa, Putera Maryam! Abaikanlah prejudis dan prasangka lazim yang didakyahkan ramai orang itu - yang tidak berasas, lagi penuh dengan fitnah ! Bacalah Al-Kitab dan Kitab Suci Injil Syarif yang mengandungi sirah Sayidina Rabbani Isa yang sah dan sebenar. Sejarah telah membuktikan bahawa peristiwa penyaliban Al-Masih Isa Putera Maryam itu, 2,000 tahun yang lalu adalah satu hakikat dan fakta sejarah yang telah betul-betul berlaku yang tidak dapat disangkalkan oleh mana-mana pihak.
Inillah sabda Al-Masih Isa kepada para rasul-rasul-Nya, lebih 2,000 tahun yang lalu :
"Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seseorang yang menyerahkan nyawanya untuk berkorban bagi sahabat-sahabatnya."
KSI, Yahya 15 ayat 13.
Dan itulah yang telah disempurnakan oleh Baginda bagi sahabat-sahabatnya dan itulah juga telah Dia lakukan tanpa syarat untuk anda dan saya, supaya kita semua dapat tahu dan menghayati apakah itu kasih-sayang yang sebenar, tulin lagi sejati - yang Allah Sendiri telah menganugerahkan kepada manusia sejagat untuk selama-lamanya!