Alkitab - Dibenarkan Oleh Islam?
Di mana pun saya pergi dalam dunia Islam, saya pasti berjumpa dengan orang Islam yang mahu menempiskan kesaksian saya dengan satu senarai kritikan yang mempersoalkan kedudukan Alkitab(Bible). Satu daripada topik yang sering diajukan ialah kesahihan Alkitab. Ini biasanya usul pertama yang dilemparkan kepada saya. Mereka memberi amaran kepada orang Islam lain supaya jangan membaca Alkitab, kerana ia akan sesatkan mereka. Apabila saya menanyakan mengapa, jawaban yang diberi ialah bahawa buku yang saya miliki bukanlah kitab-kitab yang Allah berikan kepada Nabi Musa, Daud dan Isa.
Saya tertarik kepada hakikat bahawa tidak ada tempat dalam Al-Quran yang sebenarnya mengatakan Alkitab telah diubah. Pada tahun-tahun awal agama Islam, apabila Alkitab belum ada dalam bahasa Arab, orang Islam tidak pernah membuat tuduhan ini. Tetapi apabila Alkitab bahasa Arab dimiliki dan diselidiki oleh orang Islam, mereka mendapati banyak perbezaan antara kisah-kisah yang diceritakan dalam Alkitab dan Al-Quran. Pada ketika itulah, orang Islam yang pasti bahawa Al-Quranlah buku yang benar, menenunkan tuduhan bahawa orang Yahudi dan Kristian telah mengubah Alkitab.
Akan tetapi tuduhan ini tidak selaras dengan kesaksian Nabi Muhammad dan Al-Quran mengenai Alkitab. Marilah kita perhatikan beberapa penyataan Al-Quran tentang isu ini (Haruslah saya jelaskan di sini bahawa penggunaan Al-Quran di sini bukan bermaksud penerimaannya sebagai teks yang berwibawa bagi orang Kristian. Sebaliknya, kerana orang Islam menganggap Al-Quran sebagai buku berwibawa dalam hidup mereka, maka adalah kepercayaan saya bahawa mereka mestilah akur kepada kebenaran kesaksiannya tentang kesahihan Alkitab):
Apakah sebenarnya kenyataan-kenyataan dalam Al-Quran mengenai Firman Allah yang telah diberikan :
- Kata-kata Allah tidak boleh diubah:
Tidak adalah yang menukar kalimat Allah. Sesungguhnya telah sampai kepadamu berita rasul-rasul itu. (6.Al-Anaam 34)
- Kata-kata yang Nabi Muhammad sampaikan sebagai ilham ilahi sebenarnya bertujuan mengesahkan dan melindungi kitab-kitab sebelumnya:
Quran ini bukanlah diada-adakan oleh yang lain daripada Allah, bahkan ia membenarkan (kitab) yang dihadapannya dan menerangkan kitab itu. (10.Yunus 37)
Dan sebelum Quran, ada kitab Musa (Taurat), jadi ikutan dan rahmat. (Quran) ini kitab yang membenarkan (kitab-kitab dahulu itu) dalam bahasa Arab. (46.Al-Ahqaaf 12)
- Nabi Muhammad digalakkan untuk bertanya dengan orang Yahudi dan Kristian:
Jika engkau syak wasangka, tentang apa yang Kami turunkan kepada engkau (ya Muhammad) hendaklah engkau tanyakan kepada orang-orang yang membaca Kitab sebelum engkau. (10.Yunus 94)
- Orang Kristian disuruh mengambil pendirian mereka dari Alkitab:
Hai ahli Kitab, kamu bukan atas suatu (kebenaran), kecuali jika kamu turut Taurat dan Injil dan apa-apa yang diturunan kepadamu daripada Tuhanmu. (5.Al-Maa-Idah 68)
- Nabi Muhammad diperintahkan untuk mempercayai kitab-kitab yang diberi kepada Musa, Isa dan nabi-nabi yang lain:
Katakanlah: Kami beriman kepada Allah dan apa-apa yang diturunkan kepada kami dan apa-apa yang diturunkan kepada Ibrahim, ismail, Ishaq, Yaqub dan anak-anaknya dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan nabi-nabi dari Tuhan mereka. (3.Ali ‘Imran 84)
Koleksi ayat-ayat Al-Quran ini memberi satu pengesahan yang kuat kepada semua kitab-kitab sebelumnya yang terkandung dalam Perjanjian Lama dan Baru (Alkitab) dan nabi Muhammad dihantar untuk mengesahkan kesahihan kitab-kitab ini. Tetapi beserta ayat-ayat ini, kita akan menemui ayat-ayat lain di mana nabi Muhammad meletakkan kata-katanya selaras dan sama nilai dengan teks-teks yang diilhamkan Allah dalam Alkitab.
Walaupun terdapat rujukan yang banyak kepada kesahihan dan keaslian Alkitab sepertimana ianya ada pada zaman nabi Muhammad, saya masih dapati orang Islam cuba mengelakkan hal ini dengan berkata bahawa orang Kristian pada satu ketika dalam sejarah telah mengubah teks Alkitab. Tuduhan tidak berasas ini adalah satu-satunya cara mereka menjelaskan mengapa ada beratus-ratus perbezaan antara Alkitab dan Al-Quran. Mereka enggan menghadapi kemungkinan bahawa nabi Muhammad telah menyatakan sesuatu yang salah.
Saya sedar bahawa kesabaran perlu untuk menjelaskan kepada orang Islam bahawa Alkitab orang Kristian boleh dipercayai, diilhamkan Allah, dan terjemahan asli koleksi teks yang awal boleh didapati dengan banyak - kebanyakkan daripadanya sebelum kedatangan nabi Muhammad.
Alkitab yang dimiliki orang Kristian hari ini masih asli dan serupa dengan semua Alkitab yang ada pada kurun-kurun yang lepas (termasuk yang disalin sebelum kedatangan Islam). Berikut adalah beberapa sebab mengapa orang Kristian mempercayai kenyataan yang baru sahaja saya buat:
- Ada pada hari ini sekurang-kurangnya 30,000 naskah yang ditulis sebelum kedatangan Islam yang sama dengan dan mengesahkan Alkitab milik orang Kristian hari ini.
- Skrol-skrol Laut Mati (the Dead Sea Scrolls), banyak daripadanya menjangkau balik kepada kurun pertama sebelum Isa , adalah pada hakikatnya sama dengan teks bahasa Yahudi yang orang Kristian miliki ada hari ini.
- Tidak ada bukti dari mana-mana masa dalam sejarah Kristian di mana teks Alkitab berbeza dengan apa yang ada hari ini atau pada zaman Nabi Muhammad.
- Banyak daripada teks-teks Alkitab sebelum-Islam ini (dalam bahasa asalnya) ada dipamerkan di muzium-muzium di seluruh dunia.
- Kebanyakkan perbezaan yang wujud antara berbagai teks-teks yang ada secara kasar disebabkan oleh kesilapan semasa penyalinan, dan tidak ada satu akidah Kristian yang telah berubah oleh kerana kesilapan ini.
- Perbezaan dalam banyak terjemahan Alkitab yang ada hanya membayangkan prinsip-prinsip terjemahan yang digunakan oleh penterjemah-penterjemah yang berlainan. Tidak ada kes, di mana pemilihan perkataan yang tertentu semasa penterjemahan mengubah atau mempengaruhi satu-satu akidah Kristian.
- Jika orang Islam tetap berkeras dalam tuduhan mereka bahawa orang Kristian dan Yahudi telah mencemarkan teks Alkitab, baik Perjanjian Lama dan Baru; Taurat mahupun Injil, maka saya percaya adalah tanggungjawab bagi mereka yang bersyak wasangka untuk:
- menampilkan naskah Alkitab yang tulen dan asal
- membuktikan siapa yang telah melakukan perubahan-perubahan yang kononnya telah dilakukan
- menyatakan bila pengubahan itu berlaku dan
- menunjukkan dengan tepat apa yang telah diubah
Adalah baik untuk diingat bahawa serangan asal Setan ke atas Adam dan Hawa berpusat pada Firman Allah dan bertujuan membuat mereka sangsi akan kebenaran penyataan Allah itu. Isa , apabila menjawab godaan-godaan Setan, menggunakan Firman Allah untuk mengalahkannya. Kita juga mesti mengelakkan diri daripada tidak menggunakan Firman Allah kerana sangsi akan kesahihan dan kuasanya yang luarbiasa. Ingat, "semua yang tertulis di Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah." (2 Timotius 3:16)